Friday, January 20, 2017

DOA ADALAH SENJATA UMAT ISLAM

Bahagian #1

Doa secara zahirnya adalah satu permintaan, pengaduan dan permohonan secara terus daripada manusia kepada penciptanya iaitu Allah s.w.t. Dalam doa kaedah permohonan yang digunakan adalah secara langsung kepada yang Al-Khaliq tanpa menggunakan sebarang perantaraan. Tegasnya melalui doa, umat Islam berhubung terus dengan Allah s.w.t. bagi menyampaikan pengaduan dan permintaannya.


Dari segi sejarahnya, doa bermula sejak awal kejadian manusia lagi, iaitu semasa zaman Nabi Adam. Pada ketika itu, Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa hidup dalam penuh kenikmatan sebelum tewas dengan godaan syaitan laknatullah yang mencetuskan kejadian kedua-dua mereka melanggar tegahan Allah s.w.t. daripada memakan buah khuldi.

Ekoran daripada dosa yang telah mereka lakukan, Nabi Adam a.s. dan Hawa telah disingkirkan daripada kenikmatan yang menjadi milik mereka selama ini. Kemurkaan Allah s.w.t. ke atas perbuatan mereka melanggar larangan Allah s.w.t. menyebabkan Allah s.w.t. telah mengajarkan beberapa kalimat kepada baginda.

Kalimat tersebut merupakan doa taubat yang telah diajarkan kepada Nabi Adam a.s. sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah s.w.t. dalam surah Al-A'raf ayat 23 yang bermaksud, Keduanya berkata: "Ya Tuhan Kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan sekiranya Engkau tidak mengampuni dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi."

Melalui bimbingan terus daripada Allah s.w.t. Nabi Adam a.s. telah berdoa dan memohon keampunan di atas keterlanjuran yang telah dilakukannya lantaran dipengaruh dengan hasutan dan godaan syaitan durjana. Perkembangan manusia seterusnya telah memperlihatkan pelbagai perubahan dalam kehidupan manusia, hingga ada di kalangan mereka yang kehilangan arah dan tidak mengenal Tuhan mereka.

Namun, disebalik kelalaian manusia itu, biarpun tidak mengenal Tuhan mereka, manusia tetap mengenali doa terutamanya apabila mereka berada dalam kesusahan dan ditimpa musibah. Apabila keadaan sedemikian berlaku manusia merasakan mereka amat memerlukan pertolongan dan bantuan.

Ekoran daripada itu, mereka akan mencari-cari saja yang terdapat di sekeliling mereka untuk berdoa dan memohon pertolongan bagi mengeluarkan mereka daripada kesusahan dan kesulitan yang dihadapi.

Bersambung....

No comments:

Post a Comment